KAJANG: Mahkamah Sesyen di sini pada
Jumaat menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan terhadap
seorang anggota kumpulan hip-hip popular tahun 2000 selepas didapati
bersalah merogol anak tirinya.
Guru vokal berusia
38 tahun yang bekerja dengan beberapa badan kerajaan itu tenang apabila
mahkamah membuat keputusan berkenaan tetapi kelihatan menitiskan air
mata sewaktu mahkamah berehat seketika sebelum menjatuhkan hukuman.
Tertuduh
didakwa merogol anak tirinya yang kini berusia 15 tahun di bilik tidur
gadis itu di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, Gombak dekat sini, pada
pukul 9 pagi, 2 Februari 2012.
Adalah difahamkan bahawa ibu mangsa dan tertuduh telah lama bercerai.
Hakim
Nor Hazani Hamzah berkata, keterangan yang diberikan mangsa adalah
berwibawa selain pengesahan doktor terdapat koyakkan pada kemaluan
mangsa.
"Selepas kejadian itu, mangsa
menceritakan peristiwa berkenaan kepada dua saksi (kedua-dua mereka
adalah guru sekolah mangsa). Keterangan kedua-dua saksi bebas itu adalah
berwibawa,” katanya.
Nor Hazani menambah, pihak pembelaan pula gagal menimbulkan keraguan munasabah dan akhirnya ‘menyokong’ pihak pendakwaan.
Mahkamah juga turut mendengar kenyataan mangsa terhadap kesan yang dialaminya sebelum menjatuhkan hukuman.
"Saya
rasa tidak selamat dan jijik pada diri sendiri. Saya rasa saya telah
hilang perasaan untuk hidup sehingga mendorong saya beberapa kali untuk
membunuh diri.
"Saya tidak tahu apa akan jadi
dengan masa depan saya kerana ia kelihatan suram. Saya juga takut untuk
kembali ke sekolah, takut bahawa episod gelap ini berulang," kata gadis
itu sambil menangis ketika memberi kenyataan.
Peguam bela tertuduh iaitu Azmi Talib memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menanti rayuan di Mahkamah Tinggi.
Timbalan
Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd Zawawi bagaimanapun membantah
permohonan itu sambil berhujah bahawa tiada keistimewaan tertuduh untuk
dibiarkan bebas.
Nor Hazani bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin dan menaikkan jumlah wang jaminan daripada RM15,000 kepada RM80,000.
Bagaimanapun tertuduh gagal membayar wang jaminan itu menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Penjara Kajang.
Dia
didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment